Thursday, July 23, 2009

UiTM Permatang Pauh ditutup

UiTM Permatang Pauh ditutup

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 22 Julai - Para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini mula meninggalkan kolej masing-masing selepas kampus itu diarah tutup ekoran 10 pelajarnya disahkan positif virus selesema babi atau influenza A (H1N1).

Tinjauan Utusan Malaysia di kampus tersebut hari ini mendapati, banyak kenderaan dilihat keluar masuk membawa pelajar sejak pukul 11 pagi dengan kawalan ketat pihak pengawal keselamatan.

Difahamkan, 200 pelajar lagi yang mempunyai simptom H1N1 ditempatkan di beberapa blok hostel iaitu Kolej Baiduri, Zamrud dan Mutiara sehingga mereka disahkan sembuh sepenuhnya.

Pelajar kursus Kejuruteraan Awam, Edinur Ali Muhammad, 19, yang ditemui memberitahu, dia turut dikuarantin selama dua hari mulai Sabtu lalu tetapi dibenarkan keluar selepas didapati tidak mengalami simptom virus tersebut.

''Pihak pengurusan universiti membuat pengumuman kira-kira pukul 11 pagi ini dan saya dan rakan-rakan terus bergegas keluar," katanya yang akan pulang ke kampungnya di Kota Bharu, Kelantan.

Kampus tersebut diarah ditutup selama tujuh hari mulai hari ini berikutan 10 pelajarnya dijangkiti wabak tersebut dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Arahan penutupan serta-merta kampus itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pagi ini bagi mengelak penularan wabak berkenaan di kampus tersebut yang mempunyai kira-kira 5,000 pelajar.

Seorang lagi pelajar, Ezanee Abdullah, 18, berkata, pelajar dimaklumkan oleh pensyarah masing-masing serta pihak pentadbiran kampus bahawa ada kemungkinan kampus itu akan ditutup.

''Kami diberitahu bahawa kampus ini ditutup selama seminggu dan dibenarkan balik dengan syarat perlu diambil sendiri oleh ibu bapa masing-masing.

''Saya berpendapat adalah wajar kolej ditutup kerana virus ini berbahaya dan jumlah pelajar di sini bukan sedikit," katanya.

petikan dari utusan malaysia..23/7/09
------------------------------------------------------------------------------------------------
......kan best kalu staff pun dapat cuti hehehe....ehh students yang bg statement ni mcm aku kenal je..students aku rupanyee..

No comments:

Post a Comment