Tuesday, May 19, 2009

Bebas H1N1-Harap-harap kita bebas la kes nie..Aminnn

Bebas H1N1 jika tiada kes esok

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 18 Mei – Malaysia akan diisytihar bebas jangkitan influenza A (H1N1) sekiranya tiada kes terbaru dilaporkan selepas Rabu ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat.

Menurutnya, tempoh tersebut adalah berdasarkan penularan virus itu yang memakan masa selama tujuh hari selepas kes pertama dikesan di negara ini pada 13 Mei lalu.

‘‘Sehingga kini belum ada kes jangkitan virus itu dikesan di negara kita dan dua kes yang dilaporkan sebelum ini dikesan dari negara terlibat, jadi mereka mungkin dijangkiti di sana.

‘‘Jika selepas 20 Mei ini, mungkin kita boleh kata tiada jangkitan virus itu di dalam negara ini tetapi tidak boleh katakan negara bebas sepenuhnya dari virus itu kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai situasi semasa H1N1 dan tindakan kementerian menanganinya di sini hari ini.

Sehingga pagi ini, sebanyak 111 kes diasingkan bagi tujuan pemeriksaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, hanya dua kes yang dilaporkan sebelum ini disahkan positif H1N1.

Semalam, sembilan kes yang disyaki dilaporkan dan empat daripadanya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Kangar, dua di Hospital Tuanku Ja‘afar, Seremban dan satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Kesemuanya disahkan negatif H1N1 oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMP).

Pada sidang akhbar sama, Dr. Ramlee berkata, bagi perkembangan dua kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pulau Pinang, keadaannya kini stabil.

Menurutnya, ahli keluarga kedua-dua mangsa itu turut berada dalam keadaan sihat.

‘‘Selepas doktor membuat rawatan dan pengesahan bahawa mereka betul-betul bebas daripada virus itu, mereka akan dibenarkan pulang.

‘‘Ini biasanya pada hari kelima dan keenam daripada hari mereka mendapatkan rawatan,” katanya.

Mengenai tindakan mengesan penumpang pesawat MH091, Dr. Ramlee berkata, tujuh lagi berjaya dikesan dan kesemuanya kini dikuarantin di rumah masing-masing.

‘‘Setakat ini, mereka berada dalam keadaan sihat dan buat masa ini, kita sedang mengesan kira-kira 17 orang lagi penumpang pesawat itu.

‘‘Bagi penumpang pesawat AK 5358 pula, seramai 33 penumpang dan empat krew penerbangan telah dikesan dan mereka kini dikuarantin rumah dan berada dalam keadaan sihat. Seramai 69 lagi masih dikesan,” katanya.

Dr. Ramlee berkata sehingga pagi ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sebuah lagi negara turut mencatat wabak itu iaitu Ecuador, menjadikan keseluruhan negara yang terlibat sehingga kini ialah 39.

Petikan Utusan Malaysia-19/05/2009

No comments:

Post a Comment